18.1.10

TUJUAN PROGRAM "JIILUL QURAN"

نحمده ونصلي على رسوله الكريم

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.. Bermula dengan lahirnya kerisauan daripada bekas pelajar SHOAW yang sedang menuntut di Darul Quran sekarang, maka datanglah usaha untuk mengatasi kerisauan tersebut dengan mengadakan program ini. Antara kerisauan yang lahir daripada siswa Darul Quran ialah mengenai masalah hala tuju pelajar, persoalan mengenai ukhwah dan pembentukan bi’ah solehah, yakni suasana baik di sekolah tersebut.

Kebiasaannya, para pelajar sekolah lepasan SPM akan memilih jalan untuk masuk ke matrik atau ke pengajian tinggi samada awam mahupun swasta. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai alternatif lain untuk meneruskan pengajian dalam bidang agama. Alangkah ruginya 5 tahun belajar pelajaran agama tetapi pengajian tersebut tidak diteruskan dalam pengajian yang seterusnya. Dengan mengambil langkah mempromosikan Darul Quran sebagai institusi seterusnya akan dapat melahirkan keluaran generasi al-Quran dari sekolah tersebut. Malahan, bumi Kenyalang juga kekurangan golongan yang mahir dalam agama terutamanya dalam bidang al-Quran. Secara langsung, matlamat jangka masa panjang akan menaikkan lagi nama SHOAW sebagai sebuah sekolah yang melahirkan golongan cendiakawan yang faqih dalam agama.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”. Ukhwah juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk akhlak generasi muda yang kian hanyut masa kini. Hal ini kerana, jalinan ukhwah yang teguh dan mantap akan melahirkan budaya tegur-menegur, saling menghormati, tolong-menolong dan sebagainya. Disamping itu, kempen ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar’ turut dilahirkan setelah terjalinnya ukhwah dikalangan pelajar. Atas dasar inilah, kerisauan yang terhasil diiringi dengan program yang bakal dijalankan akan mencapai objektif yang sebenar. Bak kata pepatah, “perpaduan asas kejayaan”.

Bumi barakah SHOAW dahulunya kian terhakis. Hal ini berlaku berikutan daripada punca suasana di tempat tersebut. Budaya-budaya yang tidak sepatutnya berlaku di sekolah agama telah bermaharajalela dan berleluasa. Pembentukan bi’ah solehah yaitu suasana yang baik boleh mengatasi masalah ini. Budaya-budaya islamik haruslah disuburkan di tempat pembelajaran agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini ataupun perkara yang diharamkan oleh syarak. Sebab itulah program ini dianjurkan agar dapat membentuk bi’ah solehah walaupun mengambil masa yang singkat.

Kejayaan program penjanaan generasi Quran dan pembinaan modal insan ini memerlukan kerjasama semua pihak yang akan terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Hal yang demikian, sokongan daripada pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dan semua pelajar adalah amat diharapkan bagi melicinkan perjalanan program “Jillul Quran”.